Sabtu, 28 Desember 2013

Menarik Ulangtahun Jentayu Spa Sheila Majid

Figura muzik lagenda Malaysia, Datuk Sheila Majid meraikan ulangtahun ke-7 spa milik beliau, Jentayu Spa bersama rakan-rakan media yang terletak di Publika Solaris Dutamas semalam.

Beliau yang menguruskan spa tersebut bersama rakan kongsi, Ina Hasniza menjanjikan sesuatu yang istimewa kepada setiap pelanggan mereka apabila spa tersebut berkonsepkan 100 peratus Melayu tradisional.

“Kami tak sama dengan spa yang ada di luar sana di mana banyak yang memilih konsep Bali, Turki dan sebagainya.

“Macam mana zaman mak-mak kita dulu berurut, seperti itu lah yang kami tawarkan di sini,” jelas Sheila ketika ditemubual MyNewsHub.

Tambah menarik, pelanggan di Jentayu Spa bakal merasai kenikmatan urutan Melayu holistik yang menggunakan beberapa pilihan minyak aromaterapi hasil sumber alam.

Dalam pada itu, Sheila turut menjelaskan bahawa penjagaan badan serta kecantikan bukan hanya kepada golongan wanita, malah kepada golongan lelaki.

“Di sini kami bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kepada wanita, malah kepada lelaki kerana kami tahu bahawa golongan lelaki masa kini juga ingin menjaga diri mereka,” ujar Sheila.

Perkhidmatan lulur di spa tersebut turut memberi peluang kepada pelanggan bagi memilih haruman lulur seperti haruman kopi, cocoa, kelapa dan kulit kayu manis di mana proses tersebut mampu merangsang perjalanan darah.

Pada masa yang sama, Jentayu Spa juga menawarkan khidmat dandanan dan rawatan rambut yang dilakukan oleh pakar pendandan terkemuka di Malaysia, Tasha Zainudin.

Popular menghasilkan gaya rambut ‘cornrows’, Tasha merupakan perunding imej serta pendandan rambut kepada beberapa selebriti terkemuka tanah air seperti Reshmonu, Dina Nadzir dan Farid Kamil dalam Lagenda Budak Setan.

Selebriti yang lahir daripada rancangan realiti Akademi Fantasia 1, Nana Mahzan juga antara pelanggan tetap spa tersebut.

Bagi Nana, rawatan lulur yang ditawarkan di spa tersebut amat menenangkan dan memenuhi citarasa beliau.

“Saya paling suka rasa cocoa. Macam nak makan-makan je.

“Lepas rawatan lulur, badan dan fikiran saya rasa tenang sangat. Kulit saya pun rasa sangat licin,” ujar Nana.

Antara selebriti yang hadir pada majlis tersebut adalah suami kepada Sheila Majid, Acis, Faradhiya, Nana AF1 dan Vince AF1.

Kepada mereka di luar sana yang ingin tahu lebih lanjut berkenaan perkhidmatan yang ada di Jentayu Spa, anda boleh layari laman http://www.jentayuspa.com.my/ atau terus ke Jentayu Spa yang terletak di D2-G4-5 Solaris Dutamas Publika.






Oleh: HARITS ASYRAF

Foto: RIZA RAZAK

0 komentar:

Posting Komentar

 
Copyright © 2012. MT - Posts · Comments
Powered by Blogger