TERKINI @ 10:17:16 PM 14-01-2013
January 14, 2013
Rumah yang dibina secara haram di persisiran pantai di Kota Kinabalu. Penempatan pelarian di Telipok dan Kinarut terletak di ibu negeri tersebut. — Gambar fail
Kumpulan tersebut, yang tinggal di Malaysia sekitar 1970 hingga 1984, diberi syarat untuk kemasukan mereka — mereka haruslah berasal dari Mindanao Barat dan berniat untuk kekal tinggal di negeri Malaysia Timur itu.
Menurut ketua Unit Penempatan Jabatan Ketua Menteri Abdul Jaafar Alip memberitahu inkuiri hari ini, orang pelarian tidak semestinya Islam untuk tinggal di sini, tetapi mereka adalah golongan tidak berumah dalam konflik di selatan FIlipina pada masa itu.
“Kita menerima sebarang penganut agama untuk mereka yang tiada rumah,” katanya kepada RCI dalam inkuiri tersebut, dilaporkan oleh Malaysiakini hari ini.
Beliau menambah lima lagi perkampungan ditubuhkan pada tahun tersebut, di Telipok dan Kinarut di Kota Kinabalu, Kampung Bahagia di Sandakan, Kamoung Selamat di Sempoerna dan petempatan Hidayah di Tawau.
The Malaysian Insider melaporkan Ogos lalu bahawa pelarian ini kemudian mengemukakan dokumen IMM13, dokumen imigresen khas yang membenarkan pelarian tersebut yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) untuk mendapatkan pekerjaan di sini.
Menurut Abdul Jaafar, yang merupakan saksi ketiga memberi keterangan hari ini berkata, perlarian juga diberi kad pengenalan khas yang tidak diiktiraf oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Tetapi pegawai itu menambah skim penempatan itu dihentikan pada tahun 1985, berikutan pertukaran kerajaan dari Parti Berjaya kepada Parti Bersatu Sabah (PBS).
Di bawah pentadbiran PBS, Abdul Jaafar berkata bancian peringkat negeri diadakan untuk mengenalpasti angka pelarian yang tinggal di sini yang kemudiannya dikeluarkan dokumen bernama “kad pendaftaran sementara”.
Dan dokumen tersebut tidak diiktiraf oleh JPN sebagai kad pengenalan. RCI akan mendengar kes sehingga 18 Januari dan meneruskan inkuiri dari 28 Januari hingga 1 Februari dan 22 Februari hingga 27 Februari.
Isu pendatang haram sudah lama menyebabkan penduduk asal Sabah seperti Kadazandusun dan Murut (KDM) marah, dan mereka merasakan kedaulatan negeri dirampas kerana kebanjiran pendatang dari Filipina dan Indonesia.
Bukan lagi satu rahsia penduduk Sabah marah dan mahu pendatang asing ini pulang ke negara masing-masing.
Mereka juga menuduh kumpulan ini merompak peluang pekerjaan mereka dan meningkatkan masalah sosial, ekonomi dan keselamatan negeri.
“Kita semua faham rakyat Malaysia di Sabah merasa tertekan dan tidak selamat dengan peningkatan pendatang asing, insiden seperti jenayah melibatkan dadah, rompakan dan kecurian sudah menjadi perkara biasa,” kata bekas setiausaha negeri Sabah Tan Sri Simon Sipaun pada 18 Jun dalam artikelnya di Sabahkini tahun lalu.
“Hari-hari untuk kita biarkan rumah tidak berkunci sudah berlalu, kini mereka seperti hidup di penjara. Dan permintaan untuk peluang pekerjaan juga semakin berkurangan,” katanya lagi.
Kemarahan rakyat Sabah selama empat dekad ini disalurkan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), kerana dakwaan bahawa gabungan pemerintah itu memberikan kewarganegaraan kepada pendatang asing, terutamanya untuk memancing undi.
Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri yang memerintah dari 1981 hingga 2003, seringkali dituduh sebagai pencetus inisiatif “Projek M” atau “Projek IC”, iaitu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.
Sabah mempunyai 926,638 pengundi berdaftar, menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris The Star pada Jun lalu. Memandangkan isu ini semakin serius, Perdana Menteri bersetuju untuk mengadakan RCI untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah.
Pada 11 Ogos tahun lalu, Najib membuat lawatan ke Sabah dan mengumumkan sebuah panel untuk menyiasat selama enam bulan tentang pendatang tanpa izin yang diberikan kad pengenalan dan dimasukkan dalam daftar pemilih.
Tapi menurut lapan perkara yang ditetapkan, panel tidak akan mengenalpasti siapa dalang sebenar tentang pemberian kad pengenalan itu, dan tidak menghukum dalang terbabit.
Pembangkang menuduh kerajaan, terutamanya bekas Perdana Menteri Dr Mahathir, kerana mengedarkan kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin dan mendaftarkan mereka dalam daftar pemilih, yang didakwa untuk memastikan BN kekal berkuasa.
Syarat panel tersebut ialah:
1. Menyiasat jumlah pendatang tanpa izin di Sabah yang diberikan kad pengenalan dan kewarganegaraan.
2. Menyiasat pemberian tersebut berdasarkan undang-undang.
3. Menyiasat jika diberikan kad pengenalan biru, kad pengenalan sementara atau kewarganegaraan menyebabkan mereka mungkin didaftarkan dalam daftar pemilih Sabah.
4. Untuk menyiasat pihak berkuasa ada membuat penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP), cara dan syarat-syarat untuk menghalang sebarang keraguan di dalam konteks undang-undang.
5. Untuk menyiasat lebih terperinci berkenaan dengan SOP, cara dan syarat-syarat dalam pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang izin di Sabah dengan melihat kepada norma antarabangsa dan standard yang digunakan di Malaysia, untuk mencadangkan perubahan dan membaiki amalan sekarang.
6. Untuk menyiasat kadar pertumbuhan penduduk Sabah berdasarkan kategori-kategori tersebut:
a) Rakyat Sabah yang tinggal di negeri itu, termasuk yang diberi kad pengenalan biru atau kewarganegaraan melalui sijil (pendaftaran).
b) pekerja asing (termasuk ahli keluarga).
c) pendatang tanpa izin (termasuk ahli keluarga) dan
d) pelarian dan impak ke atas daftar pengundi.
7. Untuk menyiasat implikasi sosial kepada masyarakat Sabah selepas pemberian warga negara dan,
8. Untuk menyiasat jumlah pendatang “tanpa negara” di Sabah yang diberikan kad pengenalan biru atau kewarganegaraan.
0 komentar:
Posting Komentar