![](http://2.bp.blogspot.com/-w1sy51CMOTU/UjEL75FlQvI/AAAAAAAAE1U/CQDDsC0ViOg/s1600/jenayah1-286x215.jpg)
KOTA BHARU – Seorang lelaki yang terlibat dalam kes rompakan kedai emas di pekan Pasir Mas semalam, ditahan polis kira-kira tiga jam nselepas melakukan jenayah itu ketika sedang berehat di bawah sebuah rumah di Kampung Machang Gochoh, Meranti, Pasir Mas.
Suspek berumur 43 tahun itu ialah pemandu kereta yang menunggu suspek utama kes melarikan beberapa gelang emas bernilai kira-kira RM10,000 dari kedai itu dengan menyamar ingin membeli cincin pertunangan, di luar premis.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliludin Rahim berkata sejurus mendapat maklumat mengenai kes tersebut, unit peronda polis telah mengesan kereta yang dipandu suspek di simpang empat lampu isyarat stesen minyak Petronas di Rantau Panjang.
Menyedari kehadiran unit peronda, suspek memecut keretanya yang turut dinaiki seorang lagi suspek, menghala ke arah jalan lama Rantau Panjang-Pasir Mas, sebelum kenderaan itu terbabas di kawasan Sawah Kampung Banggol Che Musa, Meranti.
Haliludin dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata kedua-dua suspek tersebut kemudiannya melarikan diri ke dalam semak berhampiran kawasan berkenaan sebaik sahaja melihat kehadiran anggota polis.
Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Pasir Mas berjaya menangkap pemandu kereta berkenaan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Machang Gochoh pada pukul 6.40 petang, katanya.
“Hasil ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya kini giat memburu suspek utama yang berasal dari Kampung Gong Chengal Tanah Lot Kemasek, Kemaman, Terengganu. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar