Ahli Parlimen Serdang DAP, Dr Ong Kian Ming, berkata ijazah tidak boleh disamakan dengan beg tangan tiruan kerana memperoleh segulung ijazah memerlukan usaha keras selama tiga hingga empat tahun dan berlandaskan syarat tertentu.
“Jawapan Shahidan menghina graduan Malaysia dan membuktikan BN tidak berminat menyiasat perkara itu. Seseorang yang membeli ijazah mempunyai kredibiliti dan maruah jauh lebih rendah daripada mempunyai beg tangan tiruan.
“Seseorang menteri yang mempunyai ijazah atau diploma palsu akan menjadi bahan tertawa di peringkat kebangsaan atau antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Shahidan dalam jawapan lisannya berkata, kakitangan kerajaan yang didapati memiliki ijazah palsu akan dipecat.
Beliau turut memaklumkan senarai universiti yang disahkan boleh diperiksa melalui laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Ong berkata, institusi pendidikan luar negara yang menjadi tempat belajar dua orang menteri Kabinet iaitu Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin tidak terdapat dalam laman web JPA.
Katanya, kerajaan tidak seharusnya mengamalkan sikap pilih kasih dengan memberi keistimewaan kepada menteri dan membezakan mereka daripada penjawat awam yang lain.
“Di Pakistan, ahli parlimen akan dipenjara jika menggunakan ijazah palsu dan begitu juga di Jerman, dua menteri mereka diarah meletakkan jawatan selepas didapati memplagiat hasil tesis mereka.
“Adakah tahap integriti di negara kita begitu rendah sehinggakan Shahidan boleh berjenaka dengan perkara ini sebagaimana jawapannya di Parlimen?” katanya yang mempersoalkan ijazah dua menteri Kabinet tersebut.
Shahidan hari ini pada sidang Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Ong mengenai tindakan kerajaan terhadap mereka yang menggunakan ijazah palsu.
Beliau berkata, menggunakan ijazah palsu sama seperti mendapatkan barangan berjenama Louis Vuitton palsu yang bukan asli dari butik sebenar.
“Apa boleh kita buat jika dia hanya mahu gantung di rumahnya? Jika tindakan diambil, kita harus buat undang-undang baru.
"Ia sama seperti barangan palsu dari China yang menggunakan jenama Louis Vuitton, tetapi bukan barangan asli,” kata Shahidan di Dewan Rakyat hari ini.
0 komentar:
Posting Komentar